Thursday, 8 December 2011

BERIKAN MEREKA PELUANG...

Tiada apa yang perlu diceritakan untuk entri kali ini. Tengok jelah gambar-gambar di bawah ni...




Setiap makhluk yang Allah jadikan ada kelebihan dan kekurangan...janganlah berbangga dengan kelebihan kita dan janganlah pula menghina dengan kekurangan orang lain...
"Jangan menangis kerana tiada sepatu sebelum melihat orang lain tiada berkaki"

Tuesday, 15 November 2011

KARNIVAL PERMAINAN DALAMAN

Salam semua...

Program Pendidikan Khas Integrasi SKTSG telah mengadakan satu karnival permainan dalaman pada 20 Oktober yang lepas. Antara permainan yang dipertandingkan ialah permainan congkak, catur, karom, dam ular dan ting-ting. Seramai 20 orang murid telah terlibat di dalam karnival ini. Tujuan diadakan program yang pertama kali dianjurkan ini adalah untuk memberikan ruang untuk murid-murid pendidikan khas bersosial dari segi kesukanan.
Jangan sangka murid-murid OKU ini tidak mampu untuk menjalani aktiviti seperti murid di aliran perdana yea.....ternyata penganjuran aktiviti seperti ini telah memberikan mereka keseronokan dan semangat untuk bersaing sesama sendiri. Melalui permainan seperti ini, telah mampu merangsang kemahiran berfikir murid-murid ini untuk membentuk strategi di dalam permainan seperti congkak dan catur.
Secara kesimpulannya, aktiviti ini dianggap telah berjaya mencapai matlamat untuk memberi pendedahan kepada murid OKU. Kepada sahabat-sahabat yang tidak mengajar pendidikan khas, percayalah kepada kebolehan murid OKU dan mereka juga mampu memberikan saingan kepada murid yang normal sekiranya diberikan ruang dan peluang.


Tuesday, 1 November 2011

HAPPY BIRTHDAY...

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Program Pendidikan Khas Integrasi SKTSG akan mengadakan acara sambutan hari lahir murid-murid pend.khas. Acara ini dijalankan sekali setahun. Objektif program ini adalah untuk memberikan keseronokan dan penghargaan kepada murid-murid. Selain itu, secara tidak langsung mereka akan ingat tarikh lahir mereka sendiri. Ini kerana ramai di kalangan murid khas tidak tahu tarikh lahir mereka. Pada kali ini, hampir 50 orang murid pendidikan khas diraikan dengan begitu meriah. Sebelum acara memotong kek, murid-murid ini diasingkan kepada beberapa kumpulan kecil. Satu permainan stesen telah diadakan. Setiap stesen mengandungi cabaran yang perlu dihadapi. Melalui permainan seperti ini, dapat dilihat dengan jelas semangat berpasukan mereka.
Selepas selesai acara permainan, murid telah diberikan hadiah hari jadi masing-masing. Kumpulan yang berjaya menyiapkan cabaran dengan lebih awal juga menerima hadiah. Setelah itu, tibalah acara yang paling dinantikan oleh setiap murid iaitu acara memotong kek hari jadi. Guru dan murid beramai-ramai menyanyikan lagu ' Happy Birthday'.
Tepat jam 10.30 pagi, guru bersama murid beramai-ramai menaiki bas untuk ke Restoran Malaya Steamboat di Prima Seri Gombak bagi menjamu selera. Alhamdulillah, acara telah selesai sepenuhnya pada jam 1.00 petang.


Saturday, 22 October 2011

siapa OKU???




OKU???Orang Kurang Upaya...SALAH tu..Orang Kelainan Upaya. Ramai yang menganggap OKU sebagai satu golongan yang tidak mampu melakukan apa-apa dan hanya mengharapkan bantuan orang di sekeliling. Malah ada yang menganggap mereka sebagai golongan yang cacat..dan yang lebih melampau ada yang melabelkan mereka sebagai 'g**a'. Sangat keterlaluan.
Sentimen yang perlu diperbetulkan ialah mengenai pendidikan bagi golongan OKU. Masih ramai yang menganggap golongan ini tidak memerlukan pendidikan. Dunia hari ini semakin berubah, setiap orang mempunyai hak untuk belajar dan mendapat pendidikan yang sama rata. Mari kita mengenali golongan ini. OKU telah dibahagikan kepada 7 kategori iaitu :
1.      Kurang Upaya Pendengaran - tidak dapat mendengar dengan jelas di kedua-dua telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantuan pendengaran. Jangan sesekali menggelar mereka sebagai PEKAK.
2.      Kurang Upaya Pertuturan - tidak boleh bertutur hingga menyebabkan gangguan berkomunikasi dengan sempurna dan tidak boleh difahami oleh mereka yang berinteraksi dengannya.
3.      Kurang Upaya Penglihatan - tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan yang terhad di kedua - dua belah mata walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan seperti cermin mata atau kanta sentuh. Harus diingat, buta sebelah mata tidak dikategorikan sebagai OKU.
4.      Kurang Upaya Fizikal - mereka yang mengalami keadaan seperti hemiplegia, paraplegia, tetraplegia, kehilangan anggota, kelemahan otot-otot yang mengakibatkan mereka tidak dapat melakukan aktiviti-aktiviti asas seperti penjagaan diri sendiri, pergerakan, penukaran posisi tubuh badan. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak dapat hidup berdikari serta menghalang penyertaan penuh mereka di dalam masyarakat.
5.   Masalah Pembelajaran - keadaan di mana seseorang itu menghadapi masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya. Mereka yang tergolong dalam kategori ini ialah lewat perkembangan global, sydrome down, lembam dan kurang upaya intelektual. Kategori ini juga merangkumi keadaan yang menjejaskan kemampuan pembelajaran individu seperti autisme ( Autistic Spectrum Disorder ), Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan masalah pembelajaran spesifik (dyslexia, dysgraphia, dyscalculia dll.
6.   Mental - seseorang yang menghadapi penyakit mental yang teruk yang telah menjalani rawatan atau telah diberi diagnosis selama sekurang-kurangnya 2 tahun oleh Pakar Psikiatri. Akibat daripada penyakit yang dialami dan telah menjalani rawatan psikiatri, mereka masih tidak berupaya untuk berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan dirinya atau perhubungan dalam masyarakat.
7.   Kurang Upaya Pelbagai - individu yang mengalami lebih dari satu jenis ketidakupayaan dan secara umumnya tidak sesuai diklasifikasikan dalam kategori-kategori yang sedia ada. Contohnya seseorang individu yang mengalami ketidakupayaan penglihatan dan pendengaran akan didaftarkan dalam kategori Kurang Upaya Pelbagai.

5.     
6.